MALAPETAKA seperti jerebu, banjir besar, ribut taufan, tanah runtuh,
kemarau dan kemalangan jiwa di udara yang meragut nyawa orang tersayang
adalah ujian dan cubaan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Semua
ujian dan cubaan ini didatangkan dalam bentuk malapetaka yang melibatkan
alam ciptaan Allah SWT dan juga ciptaan manusia dan di luar kekuasaan
dan kemampuan manusia.
Oleh itu, sebagai manusia yang beriman, kita digalakkan untuk lebih
bersabar dan berkeyakinan teguh bahawa musibah itu datangnya daripada
Allah SWT. Selain, reda dengan qada dan qadar Allah SWT serta tidak
mudah berputus asa dan tidak putus-putus berdoa dan bertawakal. Malah
pada masa sama perlu terus berusaha memperbaiki kehidupan dengan lebih
baik adalah jalan terbaik yang perlu dilakukan.
Hakikatnya, ujian dan cubaan ini didatangkan bagi menyedarkan manusia
bahawa alam adalah tempat kediaman, manakala akhirat lah yang kekal
abadi. Apa pun ujian dan cubaan serta musibah yang menimpa manusia
mestilah reda menerimanya, waima berat menanggung. Ini kerana semua itu
dapat diubati dengan kepercayaan jitu bahawa ada kebaikan di sebalik
setiap dugaan itu.
Justeru, Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah
jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana Kami
hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.
(al-Kahfi:7)
Jelaslah bahawa manusia diuji dalam pelbagai bentuk ujian dan cubaan
juga musibah. Semua itu adalah ujian Allah SWT untuk melihat manusia
mana yang paling baik perbuatannya, iaitu keimanannya. Lantaran itu,
kalangan mereka yang diuji dan diduga mestilah sabar, reda dan pasrah
menerimanya setelah berusaha mengatasinya.
Manusia yang telah dianugerahkan dengan akal fikiran, ilmu
pengetahuan dan kemahiran sepatutnya mampu memikir dan melakukan
langkah-langkah penjagaan yang perlu bagi mengelakkan apa juga
malapetaka dan musibah.
Di samping itu, manusia juga diminta sentiasa
menguatkan akidah.Antaranya, melibatkan konsep akidah iaitu kepercayaan yang kukuh
dalam hati tentang kekuasaan dan kewujudan Allah SWT. keyakinan yang
teguh terhadap kewujudan, keesaan dan kekuasaan Allah SWT. Yakin
berlandaskan al-Quran dan hadis.
Di sebalik ujian dan cubaan Allah SWT terdapat hikmah jika bersabar.
Nabi SAW bersabda: Besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian dan
cubaan. Sesungguhnya Allah SWT apabila menyenangi sesuatu kaum, Allah
menguji mereka. Barang siapa bersabar maka baginya manfaat kesabarannya
dan barang siapa marah maka baginya murka Allah." (riwayat al Tirmizi)
Tersirat kebaikan
Yang pasti, di sebalik ujian ada tersirat kebaikan yang hanya Allah
SWT sahaja yang mengetahuinya. Oleh itu, melalui doa dan kesabaran
adalah penawar segala duka dan musibah yang menimpa.Oleh itu, setiap ujian dan cubaan serta musibah yang didatangkan
kepada manusia adalah bertujuan untuk menguji keimanan mereka.
Nabi SAW
bersabda yang bermaksud:
Barang siapa dikehendaki Allah kebaikan
baginya, maka dia diuji (dicuba dengan sesuatu musibah). (riwayat
Bukhari)
Sebagai manusia, kita tidak akan surut dengan pelbagai ujian malah ia
datang dalam pelbagai bentuk ujian dan cubaan. Antaranya kematian orang
yang tersayang, kemalangan yang melibatkan nyawa yang banyak,
kehilangan harta benda, menerusi mala petaka seperti kebakaran, banjir
dan kemalangan di laut dan di udara.
Berkaitan dengan ujian dan musibah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Allah menguji hamba-Nya dengan menimpakan musibah sebagaimana seorang
menguji kemurnian emas dengan api (pembakaran). Ada yang keluar emas
murni. Itulah yang dilindungi oleh Allah daripada keragu-raguan. Ada
juga yang kurang daripada itu (mulutnya) dan itulah selalu ragu. Ada
yang keluar seperti emas hitam dan itulah yang memang ditimpa fitnah
(musibah)." (riwayat Ath Thabrani)
**ART IS A PASSION**
No comments:
Post a Comment