FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan perintahkanlah keluargamu serta
umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar
menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang
memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi
orang-orang yang bertakwa. (Taha: 132)
Al-Maraghi berkata: Wahai Rasul! Perintahkanlah keluargamu
mendirikan solat dan hendaklah kamu juga menjaga solatmu. Sesungguhnya
nasihat dengan melakukan perbuatan, lebih berkesan jika dibandingkan
dengan perkataan.
Solat merupakan suatu kewajipan dan hendaklah dilaksanakan. Kami
tidak membebani dengan harta, tetapi Kami membebanimu dengan sesuatu
pekerjaan yang perlu dilakukan dan Kami akan memberikan ganjaran pahala
kepadamu. Kami yang memberikan harta, Kami tidak meminta daripadamu dan
ganjaran baik diberi kepada orang yang takut melakukan dosa dan bertakwa
kepada-Ku. Manakala orang yang tidak takut kepada seksaan-Ku dan tidak
mengharapkan pahala tidak akan mendapat ganjaran baik daripada-Ku."
Peri pentingnya solat jelas terbukti melalui kenyataan tokoh dan
ulama Islam. Sebagai contoh penulis sengaja menukilkan daripada kitab
al-Fiqh al-Manhaji berkenaan hikmah dan rahsia solat.
Solat mempunyai beberapa hikmah dan rahsia yang dapat dirumuskan seperti berikut:
Pertama: Solat menyedarkan manusia akan hakikat dirinya yang sebenar
sebagai hamba kepunyaan Allah SWT. Dia sentiasa menyedarinya setiap kali
berhadapan dengan masalah hidup dan perhubungan dengan orang lain.
Solat yang dilakukan akan mengingatkannya semula bahawa dia adalah
hamba-Nya.
Kedua: Solat memantapkan keyakinan manusia bahawa tidak ada pembantu
dan pengurnia nikmat sebenar-benarnya selain Allah SWT, meskipun
kelihatan di dunia banyak pihak dan sebab yang pada zahirnya membantu
dan memberi nikmat. Namun hakikatnya, hanya Allah yang memastikan semua
itu untuk kemudahan manusia.
Setiap kali manusia lupa dan hanyut kerana terpesona dengan keduniaan
yang zahir, solat akan mengingatkannya bahawa penyebab yang sebenar
hanyalah Allah. Dialah pembantu, pengurnia nikmat, yang menjadikan
kesusahan, pemberi manfaat, yang menghidupkan dan mematikan.
Ketiga: Dengan bersolat manusia dapat mengambil kesempatan
menjadikannya sebagai waktu untuk bertaubat daripada dosa-dosa yang
dilakukannya. Ini kerana manusia memang sentiasa terdedah kepada banyak
maksiat pada setiap waktu, sama ada disedarinya atau tidak.
Justeru, solat yang dilakukan berulang-ulang dari semasa ke semasa
akan membersihkannya daripada maksiat dan kesalahan-kesalahan tersebut.
Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara tersebut di dalam hadis
daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya, Nabi SAW bersabda: Solat lima
waktu umpama sungai yang airnya banyak mengalir di hadapan pintu rumah
seseorang dalam kalangan kamu yang akan mandi di dalamnya lima kali
setiap hari. Kata al-Hasan: Dan apakah lagi kekotorannya yang tinggal."
(riwayat Muslim)
Maksud kekotoran di sini ialah kekotoran maknawi, iaitu dosa-dosa.
Maksud ini dijelaskan dalam riwayat Abu Hurairah r.a: Demikianlah
umpamanya solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa.
(riwayat Muslim)
Keempat: Solat merupakan santapan bagi akidah keimanan kepada Allah
yang berterusan dalam hati manusia. Segala pesona dunia dan bisikan
syaitan sememangnya menjadikan manusia lupa kepada akidah, walaupun
telah lama terterap di dalam hatinya.
Kealpaan yang berterusan kerana menurutkan gelora nafsu dan
rakan-rakan, akhirnya akan berubah menjadi ingkar. Ia umpama pokok yang
kehabisan air, lambat laun akan layu dan mati kering dan menjadi kayu
api. Namun, solat yang dilakukan dengan tekun oleh seseorang Muslim akan
menjadi santapan iman dan tidak mampu dilemahkan atau dimusnahkan oleh
segala pancaroba dunia.
**ART IS A PASSION**
No comments:
Post a Comment