Friday, June 21, 2013

Persediaan Menghadapi Ramadhan

SALAM JUMAAT

Assalamualaikum 

Telah berlalu hari, minggu, dan bulan. Sedar atau tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan dan rahmat. Bergema di serata dunia doa orang-orang yang beriman, الَلهمَ بلَغنا رمضان "Allahumma ballighna ramadhan". Doa yang diwarisi daripada kekasih yang dicintai Rasulullah S.A.W. الَلهمَ بلَغنا رمضان Inilah doa yang diulang-ulang oleh Rasulullah S.A.W apabila mendekati bulan yang mulia ini. Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah S.A.W akan berdoa ‘Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).

Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah S.A.W dididik dengan tema yang agung ini. Kesannya, mereka menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan mengharapkan agar bertemu dan dapat beribadah di bulan Ramadhan yang mulia. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula diisi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan.

Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta keampunan daripada segala dosa, bulan Sya’ban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Antara amalan-amalan yang digalakkan untuk diamalkan pada bulan Sya’ban ialah :
• Memperbanyakkan puasa sunat
• Memperbanyakkan doa, zikir & solawat kepada Rasulullah S.A.W
• Bertaubat atas segala dosa-dosa yang telah dilakukan
• Meraikan malam 15 Sya’ban (Nisfu Sya’ban) dengan qiamullail, berzikir, berdoa, membaca dan menghayati Al-Quran

الَلهمَ بلَغنا رمضان merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang beriman dan soleh bahawa mereka mengidamkan dan mengimpikan limpahan Allah S.W.T dalam bulan Ramadhan iaitu limpahan rahmat, keampunan, pelepasan dari Neraka.

Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramadhan kali ini. Sama-samalah kita bertekad untuk mengisi bulan Ramadhan yang akan datang dengan ketaatan kepada Allah S.W.T.

Sebar-sebarkanlah mesej ini.
**ART IS A PASSION**

No comments:

Post a Comment