Monday, December 12, 2011

Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia RM500

Assalamualaikum

Kementerian Kewangan semalam menjelaskan bahawa isi rumah yang layak memohon pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500, merujuk kepada seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada anggota keluarga yang tinggal serumah, dan mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 dan ke bawah.

“Ini merangkumi individu yang berkahwin; ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan; bujang yang mempunyai tanggungan; dan warga emas (berumur 60 tahun dan ke atas) sebatang kara,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataan semalam.

Katanya setiap anak berkahwin yang mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 dan ke bawah, tetapi tinggal serumah dengan ibu bapa, dikira sebagai satu isi rumah berlainan.

“Pendapatan kasar isi rumah merujuk kepada pendapatan suami, isteri dan tanggungan yang masih bujang,” katanya dan menekankan ‘hanya ketua isi rumah sahaja yang layak untuk memohon.’ Kementerian Kewangan telah membuka Bilik Gerakan untuk operasi Talian Hotline BR1M 1-800-222-500 bermula hari ini bagi memudahkan orang ramai mendapat penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan BR1M. Talian Hotline ini beroperasi setiap hari bekerja, mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

Kementerian itu juga mengingatkan bahawa pendaftaran permohonan BR1M akan bermula pada 10 Disember ini hingga 10 Januari 2012. Borang-borang pendaftaran boleh didapati secara percuma di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Penerangan Malaysia, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), serta akhbar tempatan, katanya.

Borang yang lengkap diisi hendaklah disertakan salinan kad pengenalan dan slip gaji (jika berkenaan) dan diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, Jabatan Penerangan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat LHDNM.

klik untuk download borang

Kementerian juga akan membuka pendaftaran di sekolah terpilih, dewan komuniti serta dewan-dewan orang ramai yang berdekatan, dengan dibantu oleh petugas sambilan bagi mempastikan kelancaran proses pendaftaran.

Untuk tujuan ini, kerajaan melantik seramai 2,000 petugas sambilan bagi membantu dalam urusan pendaftaran permohonan di seluruh negara.

Pemohonan yang berjaya akan dimaklumkan melalui surat dan pembayaran dibuat mulai Januari 2012.
- Bernama


**ART IS A PASSION**

No comments:

Post a Comment