Wednesday, April 1, 2015

Ketentuan Allah SWT

Salam

Lama saya abaikan blog ni.. saya sibuk bekerja dan keadaan kesihatan sangat-sangat tidak memuaskan.
Saya nak sampai kan berita baik.
6 April 2014 saya akan bertukar di tempat baru. Alhamdulillah berjaya juga saya keluar dari KKM ni. Saya tak layak kerja kat sini. Tu je saya boleh bagitau. Jiwa halus sangat.

Berita buruknya, 2/3/2015 lalu saya rasa kelainan pada kandungan saya. Saya mula rasa sakit di bahagian bawah perut. Namun atas desakan tugas, saya gagahkan diri menguruskan kursus pengurusan projek ICT KKM di INTAN, Bukit Kiara, KL pada 3/3/2015. Sebaik pulang ke rumah, kesakitan makin dirasai dan tanda-tanda coklat sudah kelihatan. Saya risau dan sedih.

4/3/2015
Pagi-pagi lagi saya membuat pemeriksaan kandungan di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya. Pemeriksaan oleh 3 orang doktor mendapati tiada lagi degupan jantung anak syurga saya. Usia kandungan mencecah 18 minggu. Saya diarahkan ke Kecemasan Hospital Putrajaya. Saya  masih berharap kandungan saya masih hidup dan bernyawa. Doa dan zikir tidak sentiasa membasahi bibir.

Usai tiba di Kecemasan Hospital Putrajaya, tekanan darah dan pemeriksaan nadi saya dibuat oleh jururawat bertugas. Normal. Ya saya masih dalam mod bertenang. Doktor bertugas mengarahkan saya pergi membuat pemeriksaan di Pusat Bersalin Risiko Rendah, Presint 8. Saya akur.

Tiba di sana dan membuat pendaftaran, saya diperiksa oleh doktor. Sah. Kandungan saya tidak bernyawa lagi. Air mata saya tidak henti mengalir. Suami menggenggam erat tangan saya dan menyuruh saya bersabar. Doktor memanggil kami berdua ke dalam bilik konsultasi. Cepat-cepat saya seka air mata. Malu menangis depan orang tak dikenali. Doktor sekali lagi mengesahkan kandungan saya telah tiada. Prosedur mengeluarkan janin tersebut perlu dibuat di Hospital Putrajaya. Saya diarahkan ke sana segera. Doktor turut memaklumkan kematian janin dalam kandungan menunjukkan janin tersebut tidak cukup fit untuk survive sehingga saat dilahirkan. Sekiranya berjaya dilahirkan, kemungkinan besar, bayi akan mengalami masalah kesihatan. Air mata saya gugur lagi. Doktor memegang bahu saya ' Sabar puan"... Air mata laju membasahi pipi... Kenapa saya???

Tiba pula di Dewan Bersalin, Hospital Putrajaya saya memaklumkan kepada jururawat bertugas. Jam menghampiri pukul 12.30 tengahari. Doktor Pakar O & G tiada kerana bertugas di klinik. Saya terpaksa menunggu hampir 1 jam untuk doktor membuat pemeriksaan ke atas saya dan kandungan. Sampel darah turut diambil. Doktor meminta saya kembali ke hospital keesokan harinya untuk prosedur 'melahirkan' janin yang sudah tidak bernyawa itu. Itupun bergantung sekiranya ada kekosongan katil di wad.

5/3/2015
Pagi lagi saya tiba. Selepas mendaftar, petugas kaunter memaklumkan, pihak hospital akan menghubungi saya kelak untuk memaklumkan kekosongan katil. Sekitar jam 7.30 malam saya menerima panggilan dari hospital. Tiada katil kosong. Saya pasrah.

6/3/2015
Saya ulangi proses yang sama. Daftar dan tunggu. Saya diberi MC. Hati saya tidak betah lagi untuk memikirkan hal kerja. Waktu yang sama seperti semalam  saya dihubungi lagi. Jururawat yang menghubungi saya meminta saya pergi ke Hospital Kajang/ Hospital Kuala Lumpur. Jauh. Anak-anak saya siapa nak tengokkan. Jururawat meminta saya tunggu sehingga Isnin 9/3/2015. Doktor di Dewan Bersalin meminta saya pergi kerja seperti biasa. Saya cuba hubungi Hospital Serdang. Petugas di sana memaklumkan tiada katil kosong. Saya hampa. Berapa lama lagi janin yang tak bernyawa ni terseksa dalam rahim saya..

7/3/2015
Akhirnya lebih kurang 5.30 petang saya dapat panggilan dari pihak Hospital Putrajaya meminta saya segera ke sana. Saya bergegas ke hospital sementelah segala barang keperluan sudah saya siapkan awal-awal. Saya titipkan pesan pada anak-anak. Aisyah menangis kesedihan. Riak risau terpancar di muka Hijjaz. Usah bimbang anak-anak ibu. Sekejap je ibu pergi, bilang saya....

Tiba di hospital, saya mendaftar lagi. Masuk ke wad, diberi persalinan, diambil darah dan tekanannya. Ramai doktor pelatih disini. Saya tadah saja la tangan dicucuk jarum demi pengalaman kepada doktor baru. Saya tahan  sahaja kesakitan dicucuk jarum berkali-kali sementara urat / darah diperolehi.. Saya redha...Kifarah

8/3/2015

7.30 pagi saya di'induce'. Sakit mula terasa. PUkul 11.30 pagi, saya di'induce' lagi. Kali ni makin kerap dan kuat rasa sakitnya. Suami tiba di hospital pada pukul 12.30 tengahari. Muka saya berkerut menahan kesakitan. Ampunkan dosa-dosa saya Ya Allah. Sesungguhnya saya hambamu yang berdosa...rintih saya..

2.00 petang..saya ke toilet. Rasa ingin membuang air besar dan kecil silih berganti. Sebaik selesai, janin keluar dengan air ketuban. Saya terkejut namun segera menyambut janin yang sudah tidak bernyawa. Allah... Saya terus menjerit memanggil suami di luar. Suami juga terkejut melihat janin di tangan. Jururawat dan doktor bergegas ke tandas dan membawa saya ke katil. Doktor pelatih yang ada sangat panik. Tidak cukup tidur agaknya ahaks.

Sebaik baring di katil, tali pusat dipotong... Baju saya disalin. Borang untuk prosedur D & C ditandatangani. Sambil menunggu untuk di bawa ke bilik pembedahan, 45 minit kemudian, uri keluar sendiri. Doktor membuat pemeriksaan dan menyatakan tidak perlu D & C. Semuanya sudah keluar. COMPLETE MISCARRIAGE. Bagus anak ibu. Tak mahu ibu susah.

Badan rasa lemah dan letih. Suami minta saya rehat dan dia mahu pulang untuk lihat keadaan anak-anak yang ditinggalkan di rumah. Jam menunjukkan pukul 5. Saya terus tidur dan tersedar pukul 9 malam. . Saya tak dapat tidur. Orang sebelah baru melahirkan. Bayinya tak henti menangis sehingga keesokan paginya.

9/3/2015
Saya boleh pulang. Alhamdulillah... Sedih



**ART IS A PASSION**

No comments:

Post a Comment