1. Apakah itu GST (Goods Services Tax atau Cukai Barang dan Perkhidmatan)?
GST adalah merupakan cukai kepenggunaan yang berasaskan kepada konsep
nilai ditambah. Ianya dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di
setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan
termasuk barang dan perkhidmatan yang diimport.
2. Adakah GST merupakan cukai penggunaan yang baru?
GST akan menggantikan cukai kepenggunaan sedia ada iaitu Cukai Jualan
dan Cukai Perkhidmatan. Perbezaan GST dengan sistem cukai penggunaan
sedia ada hanyalah dari segi skop pengenaan cukai yang lebih meluas
iaitu disemua peringkat pengeluaran dan pengedaran di samping boleh
menuntut kredit cukai ke atas GST yang dibayar ke atas input perniagaan.
Berbanding dengan sistem cukai penggunaan sedia ada, di mana Cukai
Jualan hanya dikenakan pada satu peringkat pengeluaran iaitu semasa
barang-barang tersebut dikeluarkan daripada kilang atau diimport.
Manakala, Cukai Perkhidmatan pula dikenakan ke atas
perkhidmatan-perkhidmatan tertentu pada peringkat ianya disediakan
kepada pihak pengguna.
3. Mengapa cukai jualan dan cukai perkhidmatan perlu diganti dengan GST?
GST adalah merupakan satu sistem percukaian yang lebih komprehensif,
efektif, telus, efisien dan mesra perniagaan. Diperhatikan GST boleh
mengatasi berbagai kelemahan yang terdapat dalam sistem cukai
kepenggunaan sedia ada. Antara kelemahan-kelemahan yang ketara yang
tidak boleh diatasi di bawah sistem cukai sedia ada adalah seperti kesan
cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat, isu kebocoran dan
ketirisan hasil akibat daripada aktiviti pemindahan harga dan
sebagainya. Di samping itu, GST juga dijangka dapat meningkatkan
pematuhan cukai dan lebih mudah untuk ditadbir-urus berikutan sistem
pengurusannya adalah berasaskan kepada kaedah self policing. Selain
daripada itu, pihak peniaga hanya perlu mengemukakan penyata cukai yang
ringkas mengikut format yang disediakan, manakala semua rekod dan
dokumen berhubung dengan transaksi yang berkaitan hanya perlu disimpan
di premis syarikat untuk diaudit oleh juruaudit GST di kemudian hari.
4. Mengapakah kerajaan hendak melaksanakan GST ?
Pelaksanaan GST adalah merupakan sebahagian daripada program pembaharuan
terhadap sistem percukaian negara sebagai langkah Kerajaan untuk
meningkatkan keupayaan, keberkesanan dan ketelusan dalam pengurusan
cukai.
5. Mengapakah kerajaan mencadangkan kadar GST yang lebih rendah daripada kadar cukai semasa?
Kerajaan mencadangkan kadar GST yang lebih rendah daripada kadar cukai
semasa bagi tujuan mengimbangi impak GST terhadap rakyat dan pengguna
supaya ianya tidak terlalu membebankan rakyat khususnya golongan yang
berpendapatan rendah. Dengan mengenakan GST pada kadar yang lebih
rendah, dijangka pengguna akan mendapat manfaat daripadanya oleh kerana
kebanyakan barang dan perkhidmatan akan mengalami penurunan harga.
6. Adakah benar mereka yang berpendapatan kurang
daripada RM3,000 sebulan yang pada ketika ini tidak dikenakan cukai
pendapatan, perlu membayar cukai di bawah GST?
Persepsi berkenaan adalah kurang tepat berikutan kaedah pengenaan cukai
bagi kedua-dua jenis cukai tersebut adalah sangat berbeza. Dimaklumkan
bahawa kaedah pengenaan cukai pendapatan adalah berasaskan kepada jumlah
pendapatan yang diperolehi oleh seseorang individu, manakala pengenaan
GST adalah berdasarkan kepada kepenggunaan terhadap sesuatu barang atau
perkhidmatan yang digunakan. Pada ketika ini pun, mereka yang tidak
dikenakan cukai pendapatan masih tetap membayar cukai jualan atau cukai
perkhidmatan ke atas barang dan perkhidmatan yang digunakannya.
Persoalannya, kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa harga barang
atau perkhidmatan yang dijual oleh peniaga runcit telah termasuk elemen
cukai. Pada hakikatnya, pengenaan GST tidak akan memberi sebarang
perbezaan dalam aspek bebanan cukai yang ditanggung oleh mereka yang
berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan kerana pada masa ini
mereka telah pun membayar cukai terhadap barang dan perkhidmatan
tertentu yang digunakan.
7. Bilakah kerajaan akan melaksanakan GST?
Kerajaan telah menetapkan untuk melaksanakan GST di Malaysia mulai 1
April 2015. Sebelum tarikh pelaksanaan GST itu, pada masa kini Kerajaan
sedang giat berusaha untuk memberi pendedahan dan kefahaman mengenai
konsep dan kaedah pelaksanaan GST. Jika sekiranya GST dilaksanakan,
Kerajaan akan memberi ruang masa yang mencukupi di antara 18 hingga 24
bulan kepada pihak industri dan peniaga untuk membuat persediaan bagi
pelaksanaan GST.
8. Bagaimanakah GST beroperasi?
GST adalah dikenakan ke atas semua barang dan perkhidmatan bercukai yang
dikeluarkan di dalam negara termasuk yang diimport. GST hanya boleh
dicaj serta dipungut oleh peniaga yang telah berdaftar di bawah GST.
GST yang dipungut ke atas output perlu diremitkan kepada Kerajaan.
Walaupun bagitu, pihak peniaga adalah dibenarkan untuk menuntut semula
kredit cukai input melalui mekanisme dan kaedah seperti berikut:
i. GST yang dipungut ke atas output (cukai output) tolak GST yang telah dibayar ke atas input (cukai input).
ii. Jika terdapat lebihan, amaun tersebut hendaklah diremitkan kepada Kerajaan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
iii. Jika terdapat kekurangan, pihak peniaga boleh menuntut pembayaran balik (refund) daripada Kerajaan.
9. Apakah cukai input, cukai output dan kredit cukai input?
Cukai input adalah merupakan GST yang dikenakan ke atas pembelian barang
dan perkhidmatan yang digunakan dalam aktiviti perniagaan. Manakala
cukai output adalah merupakan GST yang dicaj dan dipungut ke atas
penjualan/pembekalan barang dan perkhidmatan. Kredit cukai input
bermaksud cukai input yang boleh dituntut oleh peniaga yang berdaftar di
bawah GST.
10. Apakah pembekalan berkadar standard, berkadar sifar dan dikecualikan?
Pembekalan berkadar standard adalah merupakan bekalan barang dan
perkhidmatan yang dikenakan GST pada kadar cukai yang ditetapkan.
Manakala pembekalan berkadar sifar adalah merupakan bekalan barang dan
perkhidmatan yang dikenakan GST pada kadar sifar iaitu tidak dikenakan
GST sama ada di peringkat output mahupun di peringkat input. Sementara
pembekalan dikecualikan adalah merujuk kepada barang dan perkhidmatan
yang tidak dikenakan GST pada peringkat output iaitu pada peringkat
ianya dibekalkan kepada pihak pengguna. Namun begitu, GST yang dibayar
ke atas input oleh pihak peniaga yang terlibat tidak boleh dituntut
semula sebagai kredit cukai.
11. Siapa yang akan memungut GST dan membayarnya kepada kerajaan?
GST hanya boleh dipungut oleh mereka yang telah berdaftar di bawah GST
dan cukai tersebut hendaklah diremitkan kepada kerajaan dalam tempoh
yang ditetapkan.
12. Bagaimanakah kerajaan boleh memastikan bahawa pihak peniaga akan meremit amaun pungutan cukai yang betul kepada Kerajaan?
Di dalam memastikan pihak peniaga meremitkan amaun pungutan cukai yang
betul, Kerajaan akan membuat program pengesanan awal melalui kaedah
audit meja dan audit transaksi ke atas borang penyata cukai yang
dikemukakan oleh pihak peniaga pada setiap tempoh bercukai. Pasukan
audit GST juga akan menjalankan pengauditan luar ke atas rekod dan akaun
perniagaan syarikat bagi memastikan tiada sebarang aktiviti manipulasi
cukai yang telah dilakukan oleh pihak peniaga. Selain daripada itu,
sistem penilaian risiko GST adalah merupakan kaedah pengesanan
berkomputer yang akan memberi amaran (alerts) berhubung dengan kes – kes
yang berisiko tinggi.
13. Adakah semua barang dan perkhidmatan dikenakan GST?
Pada dasarnya, GST akan dikenakan ke atas semua jenis barang dan
perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara termasuk yang diimport.
Walaupun begitu, beberapa makanan asas seperti beras, gula, tepung,
minyak masak, sayuran, ikan dan daging ternakan, telur dan kemudahan
perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan swasta, pengangkutan
awam, rumah kediaman dan tanah pertanian adalah tidak dikenakan GST.
Pengecualian ini adalah bertujuan untuk memastikan golongan
berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan GST.
14. Adakah semua perniagaan dikehendaki berdaftar di bawah GST?
Perniagaan yang telah mencapai nilai jualan tahunan RM500,000 setahun
diwajibkan untuk mendaftar di bawah GST. Perniagaan yang tidak mencapai
nilai jualan tahunan yang dinyatakan di atas tidak perlu mendaftar di
bawah GST. Walau bagaimanapun, mereka masih boleh memohon untuk
berdaftar secara sukarela.
15. Mengapakah nilai ambang (threshold) ditetapkan pada tahap RM500,000 setahun?
Penetapan nilai ambang pada tahap RM500,000 setahun adalah bertujuan
untuk mengecualikan pembekalan syarikat dan perniagaan kecil daripada
dikenakan GST supaya mereka tidak perlu menanggung semua kos yang
berkaitan (kos permulaan dan kos pematuhan) sekiranya perlu mendaftar di
bawah GST.
Berdasarkan kajian, dianggarkan sebanyak 78% daripada jumlah entiti
perniagaan tidak akan termasuk dalam sistem GST. Dengan ini, pengguna
boleh membuat pilihan untuk membeli barang keperluan mereka daripada
peniaga yang tidak mengenakan GST. Secara tidak langsung, pengguna
khususnya rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar tidak akan
dibebankan dengan GST.
16. Bagaimanakah hendak menentukan sama ada nilai ambang RM500,000 telah dicapai ataupun tidak?
Kiraan nilai ambang hendaklah dibuat berdasarkan kepada kaedah berikut :
Kaedah 1
Pengiraan berdasarkan rekod jualan bagi tempoh 12 bulan ke belakang.
Kaedah 2
Pengiraan berdasarkan anggaran jualan yang dijangkakan bagi tempoh 12 bulan akan datang.
17. Jika nilai ambang tidak mencapai RM500,000, bolehkah mendaftar di bawah GST?
Pihak peniaga masih boleh berdaftar secara sukarela dibawah GST walaupun
tidak mencapai nilai ambang yang ditetapkan. Walaupun begitu, mereka
yang mendaftar secara sukarela dikehendaki kekal berdaftar untuk tempoh
sekurang-kurangnya dua tahun.
18. Bolehkah pendaftaran GST dibuat secara online?
Kerajaan memang menggalakkan pendaftaran GST dibuat secara online.
Walaupun begitu, pendaftaran secara manual masih diterima pakai.
19. Bagaimanakah caranya untuk membuat permohonan pendaftaran GST?
Permohonan secara online boleh dibuat dengan menggunakan borang yang
boleh dicapai melalui laman web GST. Bagi permohonan secara manual,
borang permohonan boleh didapati dari mana-mana pejabat Kastam ataupun
dimuat turun dari laman web GST.
20. Bila dan dimana permohonan pendaftaran GST perlu dibuat?
Peniaga yang telah mencapai nilai ambang RM500,000 perlu memohon untuk
didaftarkan di bawah GST dalam tempoh 28 hari selepas akhir bulan di
mana nilai ambang tersebut dicapai. Permohonan pendaftaran secara manual
hendaklah dikemukakan kepada mana-mana pejabat Kastam yang berdekatan.
Permohonan secara online akan dikemukakan secara talian terus kepada
Pusat Pemprosesan Setempat. Permohonan secara online juga boleh dibuat
dengan menggunakan kemudahan komputer dan internet yang disediakan di
semua pejabat GST di seluruh negara.
21. Adakah pendaftaran GST akan dikenakan sebarang caj?
Tiada sebarang caj yang dikenakan ke atas proses pendaftaran GST.
22. Adakah barang dan perkhidmatan yang dieksport dikenakan GST?
Barang dan perkhidmatan yang dieksport tidak akan dikenakan GST
(dikenakan pada kadar sifar) bagi tujuan untuk meningkatkan daya saing
produk tempatan di pasaran antarabangsa.
23. Adakah petani dikehendaki berdaftar di bawah GST?
Skop pengenaan GST adalah meliputi semua sektor ekonomi termasuk
aktiviti pertanian. Oleh yang demikian, petani juga perlu mendaftar di
bawah GST tertakluk kepada nilai ambang seperti mana yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, sekiranya produk pertanian berkenaan merupakan
barang yang tidak dikenakan GST (dikenakan pada kadar sifar), maka
petani tersebut boleh memilih untuk tidak berdaftar di bawah GST.
24. Adakah nelayan dikehendaki berdaftar di bawah GST?
Skop pengenaan GST adalah meliputi semua sektor ekonomi termasuk
aktiviti perikanan. Oleh yang demikian, nelayan juga perlu mendaftar di
bawah GST tertakluk kepada nilai ambang seperti mana yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, sekiranya produk perikanan berkenaan merupakan
barang yang tidak dikenakan GST (dikenakan pada kadar sifar), maka
nelayan tersebut boleh memilih untuk tidak berdaftar di bawah GST.
25. Bagaimanakah Kerajaan akan mengawal harga?
Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang lebih serius di dalam
memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan
GST untuk menaikkan harga barang bagi tujuan membuat keuntungan secara
berlebihan. Antara langkah yang akan diambil oleh Kerajaan ialah
memperkenalkan Anti Profiteering Act, penguatkuasaan yang intensif
melalui penubuhan Majlis Harga Negara, penerbitan Shoppers’ Guide, di
samping menjadikan pasaraya sebagai penanda aras harga (price setter).
Bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan, pengenaan
denda dan penalti yang lebih berat akan dikenakan. Segala langkah yang
dinyatakan di atas diharapkan dapat mengubah sikap yang mementingkan
keuntungan serta menjalankan perniagaan secara tidak beretika.
26. Adakah pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) tertakluk kepada GST?
Pihak NGOs akan dikenakan GST jika terlibat secara langsung dalam
aktiviti perniagaan sekiranya barang atau perkhidmatan tersebut adalah
bercukai.
27. Adakah pertubuhan amal tertakluk kepada GST?
Pertubuhan amal seperti institusi orang kurang upaya, rumah anak yatim
dan rumah orang tua tidak akan dikenakan GST sekiranya perkhidmatan yang
disediakan hanyalah untuk ahli-ahli persatuannya dan tidak dikenakan
sebarang caj. Pertubuhan amal perlu mendaftar di bawah GST jika
sekiranya aktiviti yang dilaksanakan berunsurkan perniagaan.
28. Apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk membantu IKS semasa GST dilaksanakan?
Kerajaan akan memastikan pelaksanaan GST tidak akan memberi impak
negatif kepada pembangunan IKS. Di dalam usaha untuk membantu IKS,
Kerajaan akan mengadakan program-program latihan dan pendidikan secara
menyeluruh kepada semua IKS di seluruh negara. Program-program ini akan
dijalankan secara kerjasama diantara Kementerian Kewangan dengan SME
Corp. Di samping itu, Kerajaan juga sedang merancang untuk menyediakan
pakej perisian perakaunan GST dalam bentuk CD kepada IKS yang tidak
mempunyai sistem perakaunan sendiri.
29. Adakah Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan masih dikuatkuasakan dengan pelaksanaan GST?
Pelaksanaan GST adalah untuk menggantikan Cukai Jualan dan Cukai
Perkhidmatan yang sedang berkuat kuasa pada ketika ini. Dengan yang
demikian, kedua-dua jenis cukai tersebut akan dimansuhkan pada tarikh
mula pelaksanaan GST.
30. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi mempastikan GST dilaksanakan dengan lancar?
Kerajaan akan memberi tempoh masa yang mencukupi bagi pihak peniaga
bersiap sedia untuk melaksanakan GST. Program kesedaran dan pendidikan
GST akan dijalankan secara berterusan sehingga tarikh GST dilaksanakan.
Dalam usaha untuk menyebarkan maklumat GST kepada orang awam, Kerajaan
telahpun menubuhkan Pusat Panggilan Kastam (call centre) yang akan
beroperasi di Kelana Jaya, Selangor. Di samping itu, pelbagai panduan
industri akan diterbitkan sebagai garis panduan kepada pihak industri
berhubung dengan layanan dan prosedur-prosedur GST terhadap
industri-industri tertentu. Pihak Jabatan Kastam akan mengadakan
lawatan ke premis-premis perniagaan bagi memberi khidmat nasihat dan
tunjuk ajar supaya peniaga dapat memahami dengan lebih jelas terhadap
prosedur dan peraturan GST.
Kerajaan juga akan memastikan sistem perkomputeran GST disiapkan
sepenuhnya sebelum GST dilaksanakan. Sistem pengkomputeran GST ini
akan diuji melalui pilot project dalam proses pendaftaran awal yang akan
dijalankan 6 bulan sebelum tarikh pelaksanaan GST.
31. Adakah jentera kerajaan telah bersedia untuk melaksanakan GST?
Kerajaan sememangnya telah bersedia untuk melaksanakan GST pada
bila-bila masa sahaja. Pada ketika ini, jentera Kerajaan yang berkaitan
seperti Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam, Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengambil langkah bagi
menyediakan keperluan-keperluan pelaksanaan GST yang merangkumi aspek
perundangan, pembangunan sistem komputer, penyediaan logistik dan
infrastruktur, latihan dan publisiti serta pengorganisasian.
32. Siapa akan mentadbir GST?
Kerajaan telah memutuskan supaya Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM)
mengurus dan mentadbirkan operasi GST yang akan dilaksanakan di
Malaysia.
33. Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan bagi menangani isu ketidak-patuhan dan fraud?
Untuk menangani isu berhubung dengan ketidak patuhan dan frod, beberapa
pendekatan akan digunakan oleh Kerajaan seperti berikut:-
i. mengadakan program penilaian risiko bagi mengenal pasti jenis
perniagaan dan orang yang berpotensi untuk melakukan aktiviti ketidak
patuhan dan frod. Langkah untuk menguatkuasakan undang-undang akan
dilaksanakan lebih tegas dengan mengenakan denda dan penalti yang
tinggi;
ii. mengadakan program pengauditan secara menyeluruh ke atas rekod dan akaun perniagaan; dan
iii. memastikan Jabatan Kastam meningkatkan tahap keupayaan dan
kemahiran pegawainya dalam bidang-bidang yang berkaitan perakaunan,
kewangan dan perundangan serta melengkapkan mereka dengan teknik dan
kaedah pengauditan yang terkini termasuk penggunaan perisikan secara
forensik. Di samping itu, kaedah perkongsian maklumat dengan agensi
penguat kuasaan yang lain juga adalah penting untuk dilaksanakan.
Dengan pendekatan dan kaedah yang dinyatakan di atas, dijangka aktiviti ketidak patuhan dan frod akan dapat dikurangkan.
Rujukan : Kementerian Kewangan Malaysia
Sila rujuk juga :
1. GST (Goods Services Tax)
2. Jabatan Kastam dan Eksais Diraja - Malaysia Goods & Services Tax (GST)
**ART IS A PASSION**
No comments:
Post a Comment