بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Asas Kebebasan Kewangan
Oleh : Zaidi Ismail
Seperti sebelumnya saya kerap menyebut bahawa lebih 50% daripada kita tidak mempunyai masalah kewangan, masalah utama adalah sikap dan tidak mempunyai ilmu mengurus diri yang betul. sebagai contoh, kebanyakan daripada kita menghabiskan lebih 8 jam sehari tidak termasuk waktu perjalanan ke tempat kerja untuk mengkayakan orang lain dengan bekerja untuk orang lain dan melakukan pelbagai tugas untuk orang lain sedangkan kita sendiri tidak mahu mengambil masa kurang dari 2 jam seminggu untuk mengkayakan diri kita dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti merancang, melaksana dan mengemaskini kewangan kita, ini tidak termasuk malas untuk mencari ilmu untuk mengkaya dan menyenangkan diri sendiri. Satu perkara yang saya belajar dalam merancang kewangan adalah, kita perlu mementingkan diri sendiri dahulu sebelum kita memikirkan hal orang lain, ini kerana kita tidak membantu sesiapapun jika kita susah dan miskin selain dari menyusahkan diri sendiri. VIDEO
Sebelum kita pergi lebih jauh bagaimana untuk membebaskan diri dari hutang, mari kita lihat skop serta rentetan perancangan kewangan yang betul supaya ianya menjadi panduan kita merancang kewangan. Inilah rahsia perancangan kewangan, ianya menjadi satu piawai untuk merencana kewangan kita. Saya mengerti terlalu banyak persoalan tentang kewangan, banyak pertanyaan yang diterima oleh saya mengatakan bagaimana seseorang itu harus bermula, ramai yang mahukan jawapan ringkas, kaedah mudah ala mee segera sedangkan perancangan kewangan peribadi adalah satu proses yang kompleks. Seperti yang saya nyatakan terdahulu Kebebasan Kewangan Bermula dari Minda.
Ramai yang bertanya bagaimana hendak cepat kaya, bagaimana cara mendapatkan wang yang banyak dengan sekelip mata dan inilah yang difikirkan oleh kebanyakan orang, mereka berpendapat bahawa dengan memiliki wang yang banyak ianya akan dapat menyelesaikan masalah kewangan mereka akan tetapi apabila saya bertanya berapa jumlah wang yang diperlukan, 1 Juta? 2 Juta? 10 Juta? ramai pula yang tidak dapat menjawab berapa banyak yang mereka perlukan. Ada juga diantara yang mengaku sebagai penasihat kewangan memberikan nasihat bahawa untuk menyelesaikan masalah kewangan adalah dengan mencari lebih banyak wang. Ini adalah kesilapan pertama yang boleh anda lakukan, biarpun tidak salah mencari wang lebih namun jika difikirkan sejenak, RM10 yang ada pada diri anda sekarang pun tidak mampu anda uruskan, adakah RM1 juta boleh anda uruskan tanpa perlu mempunyai asas ilmu merancang kewangan yang betul?
Kita biasa mendengar cerita tentang jutawan segera yang jatuh miskin selepas setahun dua mendapat durian runtuh atau kisah seorang pesara yang menghabiskan wang persaraan KWSP tidak sampai 3 tahun selepas ianya dikeluarkan, petunjuk ada disekeliling kita, rahsia kekayaan dan kesenangan bukanlah dengan memiliki wang yang banyak tapi rahsia sebenar mempunyai kebebasan kewangan adalah dengan mempunyai ilmu mengurus serta merancang kewangan kita dengan teratur dan efisien. Ianya bermula dengan langkah pertama, yakni dari minda dan seterusnya merubah sikap dan belajar selangkah demi selangkah, menjadi kaya amat mudah tapi mengekalkan kekayaan itu yang susah. Anda memerlukan kesabaran, ingat!!! orang tamak dan gelojoh selalu rugi.
Matlamat Kewangan
Seperti tajuk diatas, perkara pertama yang membolehkan anda mempunyai kebebasan kewangan, kekayaan dan sebagainya adalah dengan mempunyai objektif / matlamat kewangan yang jelas atau impian kewangan yang nyata. Pada satu ketika saya pernah menulis tentang matlamat hidup, kita perlu bertanya diri kita sendiri apakah sebenarnya tujuan hidup kita? adakah kita kenal diri kita sendiri, subjek ini amat penting, tanpa mengenal diri, bagaimana anda ingin meneruskan hidup ini? saya bertanya anda lagi, apakah matlamat hidup anda? Anda perlu bertakafur dan memikirkannya sedalam mungkin.
Seperti juga hidup, kita juga perlu bertanya kepada diri kita apakah matlamat kewangan kita? Apakah Objektif Kewangan kita? Berbanding dengan hidup, proses merancang kewangan amatlah mudah, Kita hanya perlu tahu apa yang kita mahu (benda dan perkara) , nilai (dalam RM) dan bila kita memerlukannya (masa). Ini dinamakan objektif kewangan seperti yang di nyatakan didalam borang maklumat kewangan yang boleh dimuat turun dari blog ini. Setiap kali saya bertanya kepada mereka yang mempunyai masalah kewangan, apakah objektif kewangan mereka, kebanyakan dari mereka akan "BLURRRR"tidak tahu apa matlamat kewangan mereka (tidak tahu perkara, nilai dan masa yang diperlukan). Ini adalah perkara asas, anda perlu tahu apakah perkara / benda yang anda mahu , berapakah nilainya dan bila anda perlukannya (hari, bulan dan tahun diperlukan). Tanpanya bagaimana anda boleh merancang masa depan anda?
Mengapa kita perlu matlamat kewangan? Ini kerana tanpa matlamat kewangan yang jelas, bagaimana anda tahu bila anda telah berjaya mencapai matlamat tersebut, sebagai contoh, jika anda mempunyai resolusi tahunan misalnya, tahun 2008 anda ingin mengurangkan berat badan, tanpa menyatakan dengan jelas berapa kilogram anda ingin kurangkan dan bila anda ingin mengurangkannya, adakah 1 Kilogram mencapai matlamat anda? 2 Kilogram dan sebagainya dan bila sebenarnya anda ingin kurus? sepanjang tahun 2008 sahaja atau sehingga akhir hayat? Tanpa matlamat yang jelas anda tidak mempunyai kayu pengukur kejayaan anda dan anda tidak akan tahu samaada anda telah mencapai hasrat anda dan apakah ianya terlaksana seperti yang anda mahukan. Proses tersebut digambarkan dibawah.
Mempunyai Perancangan
Setelah mempunyai matlamat yang jelas (benda / perkara, nilai dan masa) sampailah masanya untuk merancang apakah tindakan yang ingin anda ambil untuk mencapai matlamat tersebut. Ini hanyalah satu proses seleksi atau pemilihan kerana anda akan menggunakan pelbagai alat serta produk kewangan untuk mencapai matlamat kewangan anda. Ianya bukanlah suatu yang ajaib tapi hanya dengan sedikit kreativiti, anda hanya perlu memilih alat serta tindakan yang bersesuaian dengan anda. sebagai contoh:-
Setelah mengetahui matlamat / destinasi perjalanan anda, misalnya anda ingin ke Pulau Pinang dari Melaka dan ingin sampai di Pulau Pinang pada 1 April 2007 misalnya, selebihnya hanyalah pemilihan pengangkutan ke Pulau Pinang, anda mula menyenaraikan pilihan anda, Kereta, bas, keretapi, motosikal, berjalan kaki, menaiki kapal terbang dan sebagainya. setelah membuat senarai pengangkutan, mulakan proses pemilihan berdasarkan matlamat anda (jauh perjalanan, masa, tenaga dan kos termasuklah keselesaannya anda).
Misalnya, jika anda seorang bujang, maka pilihan anda adalah berjalan kaki, menaiki motosikal dan pengankutan awam , jika anda tidak mempunyai waktu maka manaiki kapal terbang mungkin satu lagi pilihan alternatif. Jika kos menjadi isu, maka berjalan kaki mungkin menjadi pilihan anda, jika kelesaan, keselamatan dan masa menjadi keutamaan anda maka menaiki bas adalah pilihan paling tepat. Inilah yang dikatakan sebagai proses pemilihan alatan untuk mencapai matlamat anda berdasarkan faktor keutamaaan yang anda berikan. Jika diambil contoh diatas, pemilihan tersebut adalah berlaian tergantung kepada keadaan anda, jika anda bekeluarga (anda, isteri dan 3 anak misalnya) mungkin menaiki kenderaan sendiri merupakan pilihan yang lebih tepat bagi anda. Walaupun anda dan orang lain mempunyai matlamat yang sama, nanum keadaan, suasana dan persekitaran anda membuatkan anda memilih alatan yang berlainan dengan orang lain.
Jika ini ingin di terjemahkan kedalam merancang kewangan, pinjaman, akaun peribadi, akaun semasa, Overdraft, Fixed Deposit (FD), Amanah Saham, Hartanah dan sebagainya hanyalah alat yang digunakan untuk mencapai matlamat kewangan anda. Biarpun anda mempunyai matlamat kewangan yang sama dengan orang lain, akan tetapi keadaan anda adalah unik berbanding dengan orang lain maka pemilihan alat dan cara anda menggunakan alat tersebut akan berlaianan berbanding dengan orang lain. Oleh itu janganlah meniru alat yang digunakan oleh orang lain serta cara mereka menggunakannya, anda boleh menjadikan kaedah serta cara yang digunakan sebagai inspirasi anda tetapi ianya bukanlah satu penyelesaian kepada matlamat kewangan anda, ini kerana anda adalah anda dan orang lain adalah orang lain, anda tidak mempunyai DNA yang sama. Adalah lebih baik untuk anda mula menyenaraikan produk kewangan yang ada dipasaran bagi memudahkan anda membuat pilihan kelak.
Perlu diingat, alat kewangan bukanlah penyelesaiannya, alat kewangan cuma membantu anda mencapai atau melaksanakan rancangan anda, rancangan yang telah anda aturkanlah sebenarnya penyelesaian kepada masalah kewangan anda dan ianya merupakan satu proses untuk mencapai matlamat kewangan anda, untuk mempunyai perancangan yang berkesan beberapa alat kewangan perlu digabungkan penggunaannya. Tidak ada satu jenis alat kewangan yang boleh digunakan sebagai penyelesaian mutlak, anda memerlukan satu proses pelaksanaan yang berkesan dan efektif bagi mencapat matlamat kewangan anda.
Melaksanakan Perancangan
Setelah mengetahui objektif atau matlamat kewangan anda dan telah membuat perancangan serta memilih alat yang hendak digunakan serta mengenalpasti jumlah dan tempoh waktu yang diperlukan, sampailah masa untuk anda melaksanakan perancangan tersebut, pastikan anda telah menulis semua yang perlu dilakukan, ini perlu untuk anda kekal didalam perancangan anda dan mempunyai rujukan terperinci jika berlaku sesuatu perubahan. Rekod semua rancangan dan tindakan pelaksanaannya didalam sebuah file khas untuk senang saudara menyemaknya kelak. Anda juga boleh menggunakan file yang sama bagi tujuan menyimpan kesemua dokumen-dokumen penting kewangan anda seperti perjanjian jual beli rumah (S&P;), maklumat perbankkan dan lain-lain maklumat kewangan yang dianngap penting bagi anda.
Merancang tanpa melaksanakannya samalah seperti mimpi atau angan-angan Mat Jenin yang tidak akan menjadi kenyataan. Disini kesabaran melaksanakan rancangan yang telah di buat amat diperlukan, anda sebagai pelaksana pasti akan menghadapi pelbagai cabaran dan kesulitan untuk menjayakan rancangan anda, oleh yang demikian pelaksanaan yang fleksibel diperlukan disamping kesabaran, pastikan anda mempunyai cukup persediaan mental untuk menghadapi pelbagai rintangan dan kesulitan dalam menjayakan rancangan anda. Antara rintangan yang bakal anda hadapi adalah:-
- Masa yang diperuntukan tidak mencukupi
- Jumlah wang yang dirancang tidak mencukupi
- Tidak mendapat kerjasama dari Institusi Kewangan
- Tidak mendapat kerjasama dari pihak berwajib (masalah birokrasi)
- Tiada kerjasama dari keluarga dan sahabat handai
- Putus asa dengan segala rintangan yang dihadapi.
Disinilah kekuatan mental diperlukan kerana anda semestinya dapat melaksanakan rancangan anda, apa yang berlaku adalah anda kalah serta cepat putus asa dengan rintangan yang dihadapi. Hanya masa akan menentukannya. Untuk mengelakkan terlalu banyak rintangan, pastikan anda mempunyai perancangan yang jitu disamping mempunyai pelbagai skim pelaksanaan bukan satu tapi pelbagai. Lakukan penyelidikan yang menyeluruh terhadap sistem kewangan tempatan serta sebarang tawaran serta produk kewangan yang ada pada institusi kewangan tersebut. Antara lain anda boleh melakukan perkara-perkara berikut untuk meminimumkan rintangan yang bakal anda hadapi :-
- Tulis dan dokumenkan rancangan anda
- Berbincang secara menyeluruh dengan keluarga anda tentang rancangan anda dan dapatkan persetujuan mereka.
- Menyenaraikan pelbagai pilihan pelaksanaan yang ada
- Menyenaraikan pilihan, produk serta tawaran yang ada pada institusi kewangan
- Dapatkan khidmat nasihat dari perancang kewangan atau dari mereka yang mempunyai pengalaman (seperti saya).
- Tetapkan masa pelaksanaan dan jangan bertangguh (lebih lama anda tangguh, lebih banyak kerugian yang perlu anda tanggung)
Memantau Pelaksanaan
Melaksanakan rancangan tanpa pemantauan akan mengundang musibah kerana jika tidak dipantau anda akan berasa malas atau senang (complesant) dengan keadaan anda, ini akan mengundang kesilapan, anda perlu untuk memantau pelaksanaan rancangan anda. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa pelaksanaan rancangan tersebut sentiasa berada dilandasan yang betul seperti yang telah ditetapkan tanpa sebarang lencongan yang tidak dikehendaki. Ini harus dilakukan dalam tempoh masa tertentu sepanjang pelaksanaan tersebut (contoh : setiap 2 atau 3 bulan sekali). Terdapat dua pihak yang memantau pelaksanaan rancangan anda iaitu diri anda sendiri dan pihak ketiga. Antara pihak ketiga yang boleh membantu memantau untuk anda adalah ;-
- Seorang Perancang Kewangan (bersedia untuk membayar khidmat beliau)
- Keluarga
- Sahabat handai
- atau "your's truly"
Pemantauan dapat membantu anda mengesan perubahan-perubahan yang memungkinkan kegagalan untuk mencapai matlamat kewangan anda, pemantauan juga membolehkan anda untuk mengubah cara serta corak pelaksanaan atau alat kewangan yang anda gunakan bagi membolehkan anda berada didalam landasan pelaksanaan yang betul. Pemantauan juga membolehkan anda mendapat petunjuk baru dari mereka yang membantu memantau pelaksaaan rancangan tersebut. Perlu diingat, kehidupan dan keperluan kehidupan sering berubah-ubah.
Review / kajian semula rancangan (Jika Perlu)
Setelah anda melaksanakan rancangan anda dalam tempoh masa dan waktu yang ditetapkan, sampailah masa untuk anda membuat kajian semula samaada rancangan anda telah berjaya seperti yang anda inginkan, Jika ianya berjaya, tahniah diucapkan dan jika tidak disini anda perlu mengkaji apakah perkara yang menggagalkan rancangan anda? Adakah terdapat sebarang perkembangan terbaru samaada dari sudut pelaksanaan ataupun alternatif lain yang boleh digunakan untuk menjayakan rancangan anda ataupun anda perlu menukar rancangan anda samaada sebahagian atau keseluruhan rancangan tersebut bagi membolehkan anda menjayakannya.
Kajian semula biasanya dilakukan setahun sekali ataupun setiap enam bulan sekali bagi membolehkan anda menjejaki peratusan kejayaan rancangan anda. Jika anda gagal untuk mencapai matlamat anda atau rancangan anda gagal dilaksanakan seperti yang dirancang, maka proses merancang harus dimulakan semula (seperti gambarajah diatas) sehinggalah anda berjaya mencapai matlamat kewangan anda.
Penentuan Jangkamasa
Bagi membolehkan anda mencapai matlamat anda dengan berkesan, pastikan bahawa jangkamasa yang diperuntukkan adalah munsabah bagi anda mencapat matlamat anda, jangan lakukan perancangan dalam waktu yang suntuk atau terdekat, besar kemungkinan anda tidak akan dapat mencapainya. secara umum berilah sekurang-kurangnya setahun untuk merancang dan melaksanakan rancangan kewangan anda. Ini bagi mengelakkan kekecewaan dan juga kesilapan semasa merancang kerana waktu yang singkat akan memberikan anda tekanan yang sebenarnya tidak anda perlukan. Salah satu faktor kejayaan untuk mencapai matlamat kewangan anda adalah dengan memberikan jangkamasa yang sesuai dan munasabah untuk anda melaksanakan kesemua rancangan anda, jangan terlalu pendek atau terlalu lama, lakukan kajian menyeluruh sebelum anda menentukan jangka waktunya.
Contoh Merancang Kewangan
Matlamat Kewangan
- Memiliki rumah berharga RM200 Ribu dalam masa 5 Tahun (menjelang tahun 2012) dan memiliki rumah tersebut bebas hutang dalam jangka masa 10 tahun
Kaedah dan Pelaksanaan
- Menyimpan RM5 sehari dengan kadar pulangan 8% setahun selama 5 tahun.
- Membeli rumah 20% dibawah harga pasaran
- Mendapatkan 100% pinjaman dari bank dengan kadar faedah harian serta kemudahan flexi yg membolehkan wang lebihan pembayaran rumah dapat dikeluarkan.
- Mendapatkan kemudahan pembayaran balik pinjaman selama 30 tahun
- Mengunakan Wang KWSP sebagai bayaran bulanan melalui akaun pinjaman rumah.
- Hasil dari simpanan selama 5 disandarkan untuk mendapatkan kemudahkan kredit berterusan (overdraft) untuk membolehkan bayaran bulanan rumah dilakukan
- Kesemua pendapatan dimasukkan kedalam akaun kredit berterusan (overdraft) untuk mengimbangi perbelanjaan, bayaran bulanan rumah serta simpanan ke akaun simpanan atau pelaburan.
- Didalam waktu yang sama mengeluarkan Simpanan KWSP melalui akaun Flexi rumah bagi menambah simpanan / pelaburan, 50% daripada pengeluaran KWSP ditinggalkan di akaun rumah
- Pengeluran KWSP dilakukan setiap tahun dengan menggunakan teknik yang sama.
- Hasil keuntungan simpanan / pelaburan tahunan dimasukkan semula ke akaun kredit berterusan (Overdraft) bagi menambah nilai serta membantu pembayaran bulanan rumah.
- Membayar bayaran bulanan rumah setiap minggu bagi mengurangkan kadar faedah.
- Kesemua kaedah dilakukan secara automatik dan mengharapkan hasilnya adalah pembayaran balik pinjaman perumahan dapat dilakukan dalam masa 10 tahun tanpa perlu membayar menggunakan wang dari hasil pendapatan (gaji).
- Pemantauan dilakukan setiap 3 bulan
- Kajian Semula dilakukan setiap tahun (12 bulan)
Anggaran
- Simpanan RM5 sehari selama 5 tahun @ keuntungan 8% setahun = RM11 Ribu
- Jumlah OD (Overdraft) yang boleh digunakan = RM10,500
- Simpanan RM5 sehari selama 15 tahun @ keuntungan 8% setahun = RM50 Ribu
- Tempoh penyelesaian pembayaran rumah = 10 Tahun
- Nilai rumah yang dibeli setelah 10 tahun = RM260 Ribu @ 3% setahun
- Bayaran bulanan pinjaman rumah dari poket sendiri = RM 0
- Keuntungan dari belian harga rumah = "Priceless"
Nota : Contoh diatas adalah berdasarkan pengalaman peribadi, tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun mahu yang hidup atau yang telah meninggal dunia, jika ada ianya hanyalah kebetulan sahaja - Zaidi Ismail.
xoxo
No comments:
Post a Comment