بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Harun seorang lulusan universiti. Sebaik sahaja menamatkan
pengajian, dia ditawarkan bekerja sebagai pegawai di sebuah jabatan
kerajaan. Kini sudah 30 tahun dia berkhidmat dengan kerajaan. Dia sudah
bekerja di banyak jabatan. Sepanjang tempoh perkhidmatan, dia meniti
perjalanan kerjaya dari satu pengalaman ke satu pengalaman yang lain.
Memang dia banyak pengalaman. Sepanjang tempoh kerjayanya, dia sudah
banyak kali naik pangkat. Kini dia sedang mengetuai sebuah jabatan yang
besar.
Bermula dari mula bekerja sehingga kini, Harun tidak
memiliki sifat personaliti yang hebat dan dikagumi. Dia hanya menjaga
hubungan baik dengan pihak atasan. Dengan pihak bawahan terutama
pekerja- pekerjanya, dia bukanlah seorang bos yang mesra pekerja.
Hakikatnya dia seorang bos yang sombong, garang, kasar dan mementingkan
diri. Jika dia menyuruh seseorang pekerja membuat sesuatu tugasan,
jarang disuruhnya secara baik. Sebaliknya dia menyuruhnya dengan kasar.
Jika pekerja melakukan tugasan yang diarah, dia tidak pernah mengucapkan
terima kasih. Sebaliknya jika pekerjanya lambat menyiapkan tugasan atau
melakukan tugasan tidak mengikut seperti yang dikehendakinya, dia tidak
menegur secara baik, tetapi memarahi pekerjanya di hadapan pekerja-
pekerja lain dengan hamburan kata- kata kesat. Ada kalanya dimaki hamun
dan ditengking herdik. Itulah Harun. Tabiat buruk itu bukan baru
baginya. Bahkan telah sebati dalam wataknya semenjak mula bekerja.
Satu kelemahan Harun, pantang dipuji. Hanya pujian yang
melambung boleh mengubah wataknya dari seorang yang bengis dan sombong
kepada seorang bos yang boleh melayan pekerja yang memujinya dengan
layanan istimewa. Sepanjang kerjayanya, tidak kurang pegawai- pegawai
yang memujinya disokong kenaikan pangkat sehingga memintas pegawai lain
yang lebih layak dan lebih senior.
Satu lagi kelemahan Harun, tidak boleh ditegur oleh orang
bawahan, walaupun teguran itu secara baik. " Awak sedar tak, dengan
siapa awak bercakap". Itulah antara reaksi segera yang selalu
diucapkannya, kalau ada pekerja yang menegurnya. Kalau dia terlalu benci
kepada seseorang pekerja, dia akan bertindak sesuatu yang menyusahkan
pekerja tersebut. Justeru, dia tidak teragak- agak menyokong pertukaran
pegawai yang tidak disukainya ke jabatan yang lain pada hal pertukaran
itu tidak sepatutnya berlaku.
Memandangkan dia adalah ketua jabatan, Harun berkuasa penuh
menyokong mana- mana pegawai untuk dinaikkan pangkat. Sudah menjadi
kebiasaan bagi Harun, menyokong pegawai- pegawai yang sebulu dengannya
untuk dinaikkan pangkat. Sedangkan pegawai- pegawai yang tidak menjadi
'yes bos' kepadanya dinafikan segala hak dan peluang. Itulah Harun yang
kejam dan zalim. Dia hanya mementingkan diri sendiri. Kepentingan orang
lain tidak berada dalam kotak mindanya.
Masa bersara sudah tiba. Pada hari persaraannya, atas
inisiatif timbalannya, suatu majlis perpisahan diadakan untuk Harun.
Malangnya majlis itu hanya dihadiri segelintir sahaja dari kalangan
warga kerja jabatan terakhir Harun berkhidmat. Kehadiran yang sedikit
itu adalah isyarat yang jelas bahawa kebanyakan pekerja membenci Harun
yang sudah dikenali sikap sombong dan zalimnya. Barang kali juga, mereka
yang menghadiri majlis perpisahan tersebut, menghadirinya secara
terpaksa.
Sudah sebulan Harun bersara. Suatu hari semasa sedang
memandu kereta keseorangan diri, tiba- tiba keretanya rosak.
Diberhentikan keretanya di tepi jalan. Sambil berdiri di tepi jalan, dia
menahan kereta yang lalu lalang untuk meminta bantuan untuk mendapatkan
mekanik. Tiada sebuah pun kereta yang berhenti. Dia terus berusaha lagi
menahan kereta yang lalu lalang. Akhirnya dia menarik nafas lega kerana
sebuah kereta yang ditahan berhenti di hadapannya. Sebaik sahaja kereta
itu berhenti, dia mengenali pemandu kereta itu iaitu Salman, seorang
pegawai yang pernah bekerja dengannya. Dia meminta tolong Salman
membawanya ke tempat mekanik. Dengan spontan Salman berkata, " awak
minta tolong orang lain sajalah. Aku banyak hal ni". Tanpa
mempedulikannya, Salman terus beredar meninggalkannya. Sebenarnya,
Salman adalah antara pekerja yang pernah dizalimi oleh Harun semasa
bekerja dengannya suatu ketika dahulu.
Suatu hari, Harun menghadiri majlis kenduri. Jamuan kenduri
secara buffet. Selepas mengambil makanan, dia duduk semeja dengan
beberapa orang tetamu. Sebaik sahaja dia duduk, empat orang tetamu yang
sedang makan, bangun membawa bekas makanan masing- masing mencari tempat
duduk yang lain. Rupa- rupanya empat orang tetamu tersebut ialah Salim,
Zulkifli, Azman dan Kamaruddin. Mereka pernah bekerja dengan Harun.
Mereka adalah mangsa kesombongan dan kezaliman Harun. Disebabkan
kebencian terhadap bekas bos mereka, mereka tidak teragak- agak bangun
meninggalkan Harun yang hendak makan semeja dengan mereka. Pada masa itu
terasa lah Harun bahawa dia tidak disukai oleh bekas pekerjanya.
Kesihatan Harun mula merosot. Bermula sebagai pesakit luar,
kini Harun dirawat di hospital kerana menghidap penyakit kencing manis
yang kronik. Sepanjang dirawat di wad hospital, tidak ramai yang
menziarahinya. Dia melihat Haji Amran, pesakit di katil bersebelahannya
sentiasa dikunjungi ramai orang. Sepanjang dia dirawat di hospital,
tiada seorangpun bekas pekerjanya yang datang melawatnya. Terdetik dalam
hatinya, siri- siri kesalahannya yang menyebabkan orang tidak terlintas
untuk menziarahinya. Air mata mengalir deras membasahi pipi
mengenangkan kesalahan- kesalahan yang telah dilakukannya. Tapi apakan
daya, sudah terlambat untuk diperbetulkan. Nasi sudah menjadi bubur.
IKTIBAR DAN PENGAJARAN
Melalui cerita ini, eloklah kita belajar sesuatu daripadanya. Antaranya,
1. Janganlah kita sombong sesama manusia, lebih- lebih jika kita berada di atas. Ingatlah kalau kita tawaduk atau merendah diri kepada orang bawahan, kita tidak akan rugi apa- apa, bahkan kita akan disanjung mulia. " Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya"
2. Janganlah kita menzalimi orang dengan menafikan segala hak dan peluang yang sepatutnya diperolehinya supaya kita tidak menyesal kemudian nanti.
3. Jika kita menjadi ketua, amalkan sentiasa sikap terbuka iaitu bersedia mendengar pandangan, pendapat, buah fikiran dan cadangan orang bawahan sekalipun cadangan itu belum tentu dapat dilaksanakan. Sekurang- kurangnya orang bawahan berasa selesa kerana pendapat mereka dihargai dan didengari.
4. Jika kita terpaksa menegur atau memarahi orang bawahan kerana kesalahannya yang serius, tegurlah secara baik dan marahilah dia secara tertutup supaya dia tidak diaibkan di hadapan orang lain. Jika masih boleh dimaafkan, maka memberi kemaafan adalah terlebih baik.
5. Ingatlah, kita akan menerima padah yang tidak diduga jika terus menerus sombong dan zalim semasa kita masih berkuasa. Hanya masa dan keadaan yang bakal menentukan kesudahan kita.
6. Ingatlah, berbuat baik, kesudahannya baik dan berbuat jahat, kesudahannya buruk.
xoxo
No comments:
Post a Comment